Friday, August 30, 2013
0 komen

Hidup Bersama

7:11 AM
arnamee

Kadang-kadang, maksud dan semangat kemerdekaan lebih berkesan jika disampaikan dengan cara begini berbanding filem-filem lama yang terlalu jauh jarak dan masanya dengan usia generasi kini. Selamat menonton & Selamat menyambut hari kemerdekaan.



Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar,
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
Sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan-
inti tonggak dan menara kebahagiaan.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi –sihat, teguh dan bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik,mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah,
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita,
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh,khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa-
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu,
dan kita, dalam sejarah bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Tersimbah mewah hidup baraqah,
akar tulen menyuburi batin bangsa-
Takhta nan luhur dan panji nan subur
Meranumi demokrasi jujur dan masyhur.

Lihatlah, nikmatilah jernihnya air,
dengarlah, hayatilah angin berdesir.
Inilah dendang bumi yang kaya,
Kita warisnya sungguh bertuah.

A.Samad Said
Video: Mode Media & Joker Junior Pictures

0 komen:

Post a Comment

 
Toggle Footer
Top