Tuesday, November 10, 2015
0 komen

"Melihat dia menangis dan sakit amat memilukan hati saya" - Faizal Tahir

3:56 AM


Ternyata comeback Faizal dengan lagu ‘Assalamualaikum’ menjadi kerana telah mendapat sambutan yang terlalu hangat oleh peminatnya dan oleh kerana kehangatan dan aura yang ada pada Faizal Tahir itu juga membuatkan lagu ‘Assalamualaikum’ memenangi Lagu Terbaik Serantau dan Lagu Terbaik Malaysia di Anugerah Planet Muzik 2015 pada Oktober lepas.

Siapa yang tidak mengenali penyanyi yang bernama Faizal Tahir. Telah terbukti bahawa semua lagu ciptaan beliau telah menjadi hits dan laris di pasaran tempatan. Faizal telah mencurahkan bakatnya hampir sepuluh tahun dalam dunia seni dan beliau juga telah banyak menggondol anugerah-anugerah di dalam industri muzik di atas kegigihannya dalam membangunkan industri muzik tanah air.

Apabila sebut sahaja tentang Faizal Tahir, kita tidak boleh ketepikan hasil nukilan lagu-lagu yang dicipta oleh beliau. Hasil kerja daripada sang arjuna yang serba boleh ini mampu melahirkan karya-karya muzik yang menjadi begitu ‘hidup’. Setiap hasil nukilan beliau akan mempunyai jalan cerita yang menggambarkan kehidupan sebenar. Semua lagu yang dihasilkan telah difikirkan dengan teliti, bermula daripada intro hingga ke outro (penghujung) lagu-lagu yang dihasilkan.

Setelah hampir setahun kemunculan Faizal dengan lagu ‘Assalamualaikum’, Faizal Tahir kini muncul dengan single terbaru yang bertajuk ‘Sayang’. Lagu ‘Sayang’ ini merupakan hasil ciptaan Faizal sendiri bersama Mike Chan. ‘Sayang’ menjadi lebih istimewa apabila lagu ini dicipta khas untuk anak anak beliau.

Lagu ini juga diinspirasikan dari kisah yang berlaku terhadap salah seorang puteri beliau dimana telah dimasukkan ke hospital kerana demam virus,

‘Saya menulis lagu ini beberapa bulan yang lepas. Apabila anak perempuan saya telah dimasukkan ke hospital kerana demam virus yang sangat teruk. Beliau telah dimasukkan ke wad selama 4 hari. Melihat dia menangis dan sakit amat memilukan hati saya. Ia adalah satu pengalaman yang sangat menyedihkan apabila melihat dia begitu sakit. Setiap malam saya akan beritahu dia untuk menjadi kuat dan memujuknya untuk tidur supaya esok dia akan berasa lebih baik. Pengalaman ini keseluruhannya yang memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lagu ‘Sayang’ pada mulanya’, - Faizal Tahir

Faizal pada mulanya tiada perancangan untuk melancarkan ‘Sayang’ sebagai single beliau yang seterusnya, tetapi di dalam proses untuk menyiapkan lagu ‘Sayang’ ini, isteri kesayangannya telah melahirkan anak mereka yang ke-6, iaitu seorang bayi lelaki yang diberi nama Khalid Al-Walid Bin Ahmad Faizal. Pada ketika itulah Faizal menyedari bahawa ini adalah masa yang tepat untuk melancarkan lagu ini sebagai single beliau yang terbaru kerana begitu terharu dan bersyukur terhadap rezeki yang Tuhan kurniakan kepadanya.

‘Saya benar-benar tidak merancang ini akan berlaku sama sekali dan tidak menyangka isteri saya melahirkan cahaya mata kami yang terbaru pada masa yang sama lagu ini disiapkan. Dan secara jujurnya ​​saya tidak mempercayai kepada suatu kebetulan, saya hanya percaya kepada Tuhan yang mempunyai rancangan-Nya sendiri’, ujar Faizal.

Faizal juga menyatakan bahawa lagu ini mempunyai nilai sentimental yang amat kuat pada dirinya.

‘Saya boleh menyatakan bahawa di antara semua lagu saya yang lain, ‘Sayang’ adalah yang paling istimewa buat diri saya kerana emosi yang kuat dan hubungan yang saya ada dengannya’. – Faizal Tahir.

Single terbaru yang bertajuk ‘Sayang’ oleh Faizal Tahir ini benar-benar mampu mengubat rindu para peminat yang sememangnya rindukan vokal mendayu-dayu beliau dalam menyampaikan lagu ‘ballad’ selepas lagu ‘Selamat Malam’. Ternyata ‘Sayang’ ini adalah sebuah lagu ‘ballad’ yang membawa seribu satu makna buat Faizal. Dari sudut susunan lagu, ianya amat kemas dan juga penulisan lirik bagi lagu ini amat mendalam, dan jika dihayati ianya membawa kepada penceritaan di dalam sebuah perhubungan di antara seorang bapa dan anaknya.

Lirik lagu ‘Sayang’ amat memberi satu kesan yang bermakna buat Faizal dan sedikit sebanyak lagu ‘Sayang’ ini juga mengisahkan mengenai kehidupan Faizal sepanjang beliau bergelar sebagai seorang artis dan juga bapa.

‘Lagu ‘Sayang’ ini merupakan satu semangat yang luar biasa untuk saya sebarkan kepada masyarakat dan memberi mereka inspirasi bahawa anak itu adalah anugerah Tuhan yang tiada gantinya’. – Kata Faizal Tahir

Lagu ‘Sayang’ juga menggambarkan betapa dalam perasaan cintanya terhadap anak-anaknya. Dari liriknya sahaja kita dapat merasakan hubungan yang begitu erat diantara Faizal dan anak-anaknya dan jelas terpancar kebahagiaan dan keikhlasan di suara Faizal apabila menyampaikan lagu ini. Jelas kelihatan kasih seorang bapa yang ada pada diri Faizal menerusi lagu ini. Untuk sebuah lagu yang menunjukkan hubungan sayang di antara seorang bapa dan anaknya, ‘Sayang’ telah diramal akan menjadi hits di stesen-stesen radio di Malaysia.

Industri muzik tanah air pasti akan bergegar sekali lagi dengan kehadiran lagu ‘Sayang’ dan lagu ini juga merupakan satu hadiah buat para peminat Faizal Tahir untuk turut berlagu ketika mendodoi dan menidurkan anak-anak kecil mereka.


Lagu ‘Sayang’ oleh Faizal Tahir ini merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd dan Faithful Music Sdn Bhd.

Next
This is the most recent post.
Older Post

0 komen:

Post a Comment

 
Toggle Footer
Top